Membaca buku ini, baru aku sedar bagaimana mampu aku kategorikan Noam Chomsky.
Bagi aku, spektrum golongan kiri vs kanan adalah tidak relevan untuk digunapakai bagi Chomsky. Satu sebab adalah spektrum sebegitu terlalu relatif sehingga hampir tidak membawa apa-apa makna. Sebab yang lain adalah Chomsky mengajukan bentuk-bentuk soalan yang begitu common sense bagi kalangan masyarakat demokrasi. Idea-idea utama beliau boleh dikatakan sebagai truisms dalam demokrasi. Ibarat mengatakan malam adalah ketiadaan matahari; tiada posisi kiri atau kanan mampu diambil dalam hal itu.
Jadi cuba kita mulakan dengan idea model propaganda yang disebutkan oleh Chomsky dan Ed Herman dalam buku Manufacturing Consent. Di dalamnya Chomsky dan Herman mengkaji bagaimana sistem media mencipta propaganda yang menayangkan kemahuan dan matlamat syarikat korporat. Masalah tersebut adalah masalah sistemik dalam media massa di mana syer, saham dan peratus pemilikan majoritinya adalah dipegang oleh syarikat multinasional dan korporat.
Semua orang tahu kan? Penyumbang duit terbanyak dialah pemegang kuasa sebenar. Perkara sebegini hampir tidak disebut dalam media arus perdana. Perbincangan yang cuba mengarah ke dalam topik ini akan cepat-cepat dicampak ke dalam tong-tong berlabel teori konspirasi (walaupun mana-mana budak berumur 8 tahun boleh memahami dengan mudah isu ini).
Kesarjanaan sebenar Chomsky dan Herman dalam hal ini (bagi aku) adalah memberikan gambaran realistik tentang proses indoktrinasi yang berlaku. Lagipun jurnalis, wartawan yang bertugas sebagai wakil-wakil dan jurucakap syarikat-syarikat gergasi media massa pun manusia lagipun (satu lagi truism). Mereka juga berpegang kepada etika kewartawanan, dan setia pada kebenaran, serta percaya dengan nilai-nilai demokrasi.
Cumanya Chomsky membongkarkan bagaimana wujudnya penapis-penapis dalaman yang terkandung dalam sistem itu sendiri: hanya jurnalis/wartawan/editor yang sudah tertanam dengan nilai-nilai yang diterima oleh Sistem tersebut berjaya ditapis. Antara kaedah dimana jurnalis/wartawan/editor seperti mereka-mereka yang bertugas di New York Times dan WSJ cuba untuk mengindoktrinasi masyarakat dalam sebuah negara demokrasi adalah dengan membingkaikan isu-isu mengikut jalur-jalur pendapat yang diterima oleh Sistem. Masyarakat lantas mendapat ilusi bahawa mereka sedang membuat pilihan atas keputusan mereka sendiri. Walhal terdapat banyak lagi pilihan/points of view (PoV) yang tidak dibentangkan. Seringkali pilihan/PoV yang diketepikan itu disorokkan kerana ia langsung bertentangan dengan Sistem tersebut; malah mencabar keabsahan Sistem tersebut.
Contoh dalam isu Perang Vietnam, pilihan yang diberikan adalah "Adakah patut tentera Amerika kekal di Vietnam atau pulang ke tanahair?" Perhatikan bagaimana wacana tersebut mengenepikan persoalan-persoalan lain seperti "apa hak Amerika untuk berada di situ?", "siapa yang menerima keuntungan terbesar dalam perang tersebut (jawapannya: industri militari)" dll.
Kaedah interogatif Chomsky-esque sebegini sudah tentu adalah common di zaman kini. Kini The Guardian, Independent atau AJE more-or-less memakai bentuk kewartawanan yang serupa. Bagi aku itu mengisyaratkan bagaimana kaedah wacana Chomsky begitu persuasif dan berpengaruh. Aku percaya kaedah pengajuan soalan oleh Chomsky adalah inspirasi terutama bagi kebangkitan portal-portal berita yang kritikal itu tadi. Barang diingat Chomsky adalah intelektual terawal yang menyatakan bangkangan beliau terhadap Perang Vietnam. Dan mobilisasi bantahan rakyat Amerika berlaku hanyalah selepas 5 tahun berlangsungnya Perang Vietnam. Itupun bantahan yang disuarakan masih berkisar tentang kuasa/ekonomi seperti "Perang ini terlalu merugikan" etc.
Contoh yang aku berikan mungkin terlalu panjang. Mesej yang aku cuba sampaikan adalah mudah: Chomsky adalah pemikir yang wacananya paling praktis pernah aku jumpa. Setiap aktivis yang cuba untuk mengahwinkan aspek teori dan praktik perlu membacanya. Chomsky juga kemungkinan adalah intelektual awam yang paling konsisten dan rasional pegangannya pernah aku kaji. Dia sedar bahawa kepercayannya kepada amal demokrasi dan idea kebebasan manusia membawa maksud bahawa kuasa tidak patut dipusatkan kepada mana-mana entiti. Kuasa sepatutnya diagihkan seluasnya supaya ia mewakilkan suara-suara dengan saksama.
Atas sebab itu aku tiada bantahan dengan cara Chomsky mendefinisikan dirinya: anarchist, syndicalist dan libertarian.